subscribe

Followers

Nuffnang

page seindah cinta islam

Please like this page

Saturday 3 March 2012

~HATI IBU~


~HATI IBU~

SAYA tidak salahkan Ibu. Ibu ada sebab berkelakuan
begitu. 

Ibu sayang anak-anak, khususnya Saya. Kalau ditanya, 
siapakah manusia yang paling Saya sayang, tentu 
jawapannya Ibu. Malah, jauh berkali-kali ganda 
daripada Bapa. 

Saya tidak tahu apakah peranan Bapa sehingga Saya 
boleh dilahirkan. Bapa keluar pagi dan pulang petang. 
Ketika Bapa sampai di rumah, bajunya berpesuk-pesuk 
dan lecap dengan peluh. 

Bapa suruh Ibu pasangkan kipas sehingga nombor lima. 
Sambil bersandar ke kerusi rotan, Bapa arahkan Ibu
membawa air sejuk segelas. Kemudian, Bapa pasang 
hidupkan api rokok, lalu menghisap dalam-dalam dan 
melepaskan asap ke udara. Berpual-pual wap putih 
bertebar ke ruang tamu. Bapa berehat pulas di kerusi 
rotan, sedang Ibu kembali ke dapur menyambung kerja 
suri yang bertimbun. 

Ketika itu, jangan harap abang dan kakak hendak 
bermanja dengan Bapa. Kalau kena tengking pun sudah 
bersyukur kerana tangan Bapa lebih ringan daripada
kain lampin Saya. Saya sendiri pun tidak berani 
mengacah Bapa ketika itu. Lebih baik Saya berondok
dalam buaian. 

Bapa tidak banyak menghabiskan masa dengan Saya. Kalau 
Ibu, Saya sentiasa berada hampir dengannya sepanjang 
hari melainkan waktu tidur. 

Waktu berhempas-pulas keluar dari pintu sempit metah, 
Saya menangis melihat dunia luas terbentang. Dulu,
Saya sangkakan dunia ini hanya sebungkus kulit tipis
yang berisi cecair pekat. Cecair ini melindungi 
seluruh jasad Saya. Saya tiada siapa untuk 
berbual-bual melainkan Adik. 

Oh ya. Dalam dunia sempit itu, Saya ada Adik. 
Sebenarnya Saya tidak tahu namanya. Begitu juga Adik 
tidak tahu nama Saya. Malahan, Kami sendiri tidak tahu 
nama masing-masing. Entah macam mana, Kami bersepakat; 
Saya panggil dia Adik, manakala dia pula gelar Saya
sebagai Kakak. 

Kami hanya bergerak-gerak sedikit dalam lingkungan 
cecair pekat itu. Masing-masing ada tali di perut yang 
bersambung ke dinding tipis itu. Kami mengagak tali
itu tentulah bersambung dengan benda besar yang 
melindungi Kami. Benda besar itu, Kami gelar Ibu. 
Jangan tanya bagaimana Kami mendapat panggilan itu 
kerana Kami sendiri tidak tahu. Gelaran itu diendus ke 
hati Kami sehingga Kami yakin dengan Ibu. 

Begitulah kehidupan Kami. Lama-kelamaan, Kami berasa 
sayang akan Ibu. Kami yakin Ibulah segala-galanya bagi 
Kami. Tentulah, tanpa Ibu tiadalah Kami. Kami yakin
suatu hari Kami akan keluar dan berjumpa Ibu seperti 
yakinnya Kami betapa Tuhan yang meniupkan ruh Kami. 
Jangan tanya juga bagaimana Kami ketahui wujudnya 
Tuhan, kerana keyakinan itu datang secara fitrah. 
Tentu sukar memahami dunia Kami. Dunia Kami sempit, 
tetapi misterinya tidak dapat ditemui. 

Kami semai keyakinan itu betapa setelah Kami bersua 
wajah dengan Ibu, kasih sayang kami makin bercambah 
dan subur. Adiklah paling kerap mengangan-angankan 
pertemuan itu. 

Hinggalah suatu hari, Kami dengar suara gamat di luar. 
Ada dua suara, satu milik ibu, manakala yang gasang 
dan kasar entah milik siapa. Suara Ibu juga tinggi 
tetapi Kami dapat rasakan hati Ibu sebak. Kami 
berkongsi perasaan dengan Ibu. Malah, Saya, Adik dan 
Ibu seperti satu. 

Halai-balai di luar berlangsung lama. Tiba-tiba, dunia 
Kami dihentam, gasang dan kuat. Dunia Kami lindu. 
Cecair pekat berkucah. Ibu menjerit kesakitan. Adik 
bungkam. Saya rasa Adik cuak dengan bising dan 
hentaman tadi. 

Sejak itu, Adik tidak pernah bercakap lagi. Apa jua 
Saya pujuk, Adik tidak pernah membalasnya. 

Masa berlalu, tetapi tidaklah terlalu lama. 
Sehinggalah suasana sepi berubah. Saya fikir dunia 
Kami akan dihentam sekali lagi. Saya berdoa, moga-moga 
Adik akan bercakap semula selepas ini. 

Kali ini lebih aneh. Kedudukan saya berpusing ke 
bawah. Cecair sekeliling berkucah lagi, tetapi semakin 
berkurang. Dunia Kami bocor! Saya melihat ada pintu 
sempit metah dan Saya terdorong menelusinya. Saat itu 
tetal dengan kesakitan. Saya terseksa. Tentu Adik yang 
membisu itu juga terdera. Malah, Ibu lebih-lebih lagi
menjerit kesakitan. 

Usai kesakitan melalui pintu sempit, Saya tergegau 
metah. Dunia berubah. Dunia Kami luas sebenarnya! Saya 
pun menangis. 

Lama Saya menangis sebelum terkedu. Tahu kenapa? Saya 
dipeluk dan dicium. Saya memetia manusia baru yang 
Saya soroti ini. 'Ini Ibu!' 

Saya gembira bertemu Ibu, tetapi Saya sedih kerana 
Adik tiada bersama-sama. Entah ke mana Adik 
menghilang. Ibu juga tidak pernah menyebut tentang 
Adik. Cuma Saya rasa ada sesuatu yang disembunyikan 
Ibu. Bukankah Kami berkongsi rasa? 

Justeru, Saya tetap menyayangi Ibu. Biarpun tanpa 
Adik, Saya tahu kasih Adik begitu jua. 

Antara Saya dan Ibu, kehidupan Kami berterusan. 
Sehingga ke hari ini, Saya tetap menghirup kehidupan 
melalui Ibu. Saya tetap menyusu dari sumur Ibu biarpun 
Saya sudah mula mengemam makanan lembut yang Ibu 
suapkan. 

Bapa? Seperti yang Saya katakan, kehidupan Kami 
terlalu nadir. Bapa hadir di sisi hanyalah apabila 
malam menjelma. Itupun boleh dibilang jari kerana Bapa 
segera keluar dari rumah dan pulang kembali apabila 
ayam jantan mula berkokok. Ibulah yang terpaksa 
terpisat-pisat membuka pintu dan menerima herdikan 
Bapa. 

Saya mengerti hati Ibu didera. Biarpun, Ibu sering 
tersenyum dan memanjai Saya, hatinya tercalar panjang 
dan dalam. Hati Saya dijentik pedih merasai galur luka 
yang lama terukir. Hanya Saya tidak dapat menyatakan 
perasaan itu kerana Saya tidak upaya berbicara bahasa 
Ibu. 

Kalaulah ada Adik, tentu hati Adik berlarah luka. 
Bukankah Saya, Adik dan Ibu berkongsi rasa sejak dunia 
sempit dulu. Bapa datang kemudian, tetapi dengan wajah 
guram dan derita. 

Malah, pernah terlintas dalam hati Saya, Bapa ada 
kaitan dengan peristiwa yang meragut suara Adik. 
Diam-diam, Saya menjalur dendam. Adik hilang suara 
kerana Bapa. Adik ghaib dalam hayat Saya kerana Bapa. 

Paling utama, Ibu tidak pernah selesa dengan kewujudan 
Bapa dalam dunia Kami. Ibu merentan hati dengan Bapa. 

Ibu didera perlakuan Bapa. Tangan Bapa lebih ringan 
daripada kain lampin Saya, tetapi tamparan yang 
singgah ke wajah redup Ibu tentu seperti waja. Bahkan 
Bapa pernah menendang Ibu kerana lambat membuka pintu. 
Ibu terhundang haya dihentam kaki Bapa. Hati Saya 
bergegar. Pantas Saya terlintas peristiwa kehilangan 
Adik. 

Tentulah perlakuan Bapa menggigit jiwa Ibu. Tetapi 
hati Saya merisik, masih ada sebab lain membibit 
dendam Ibu. Gasang lebih besar daripada tamparan dan 
terajang Bapa sehingga Ibu mengendus dendam dalam 
diam. Dendam Ibu seperti api menjalar dalam sunyi 
sekam. 

Sewaktu malam, ketika Saya terkebil-kebil di katil 
kecil dan Ibu berbaring di ranjangnya, sering Saya 
terdengar tangisan Ibu menggigil dalam gelita. Esak
Ibu tertahan-tahan menggeletar dalam dingin. 
Barangkali Ibu tidak mahu mengejutkan Saya. 

Dalam tangisan itu, Ibu menyebut nama Saya. Sering 
pula dirangkai dengan nama lain yang hampir serupa 
nama Saya. Telinga Saya digigit nama Bapa dilontar Ibu 
dengan pedih. Sejak itu, Saya meyakini ada dendam
semakin menanah dalam hati Ibu. 

Sayang Saya bersama Ibu. Dendam menjalar kepada Bapa. 

Justeru, apa jua perilaku Ibu, Saya tetap 
menyayanginya. Hati Saya memahami dendam marak dalam 
sunyi itulah musabab peristiwa ini. Peristiwa mengejut 
metah. Malah, lebih penting membongkar dendam Ibu yang 
terlipat dalam senyuman tipis di bibirnya. 

Tegar, Saya tetap memaafkan Ibu. 

Di luar rumah, udara berbahang. Matahari terik 
menggigit manusia. Entah mengapa cuaca hari ini 
berapi. Hari-hari sebelum ini juga panas tetapi tidak
memuncak seperti hari ini. Seperti dendam Ibu yang
sebelum ini membakar perlahan-lahan, cuma marak pada 
hari ini. 

Di dalam rumah, udara berkuam. Sungguh Saya tidak 
selesa di dalam buaian. Mujurlah Saya tidak berbaju. 
Peluh membasahi seluruh badan Saya. Lampin lencun. 
Saya mula menangis. 

Bapa sudah lama keluar. Pagi-pagi lagi selepas 
bertengkar dengan Ibu. Kali pertama dalam hidup, Saya 
mendengar Ibu meminta cerai. Saya sendiri tidak 
mengetahui maknanya. Hanya Saya mengerti bahawa Ibu 
mahu Bapa pergi daripada kehidupan Kami. Atau pun 
barangkali yang lebih tepat, Ibu meninggalkan Bapa.

Bapa meradang. Pasti, radang itu hadir bersama kaki 
dan tangannya. Ibu seperti hilang ingatan. Bapa 
semakin gasang. Suasana semakin panas meskipun fajar 
baru usai dan matahari mula bergeliat di dada langit. 

Dendam Ibu meletup. Saya mula mengetahui tentang 
hentaman yang memisahkan Saya dengan Adik dalam dunia 
kecil Kami dulu. Ibu membongkar dendam itu. 

"Kau pembunuh anakku!" 

Hati Saya bergegar. Saya menangis. Jasad Adik hadir di 
mata Saya. Wajah suram Ibu menggilir pula datang.
Wajah redup menyimpan dendam sekian lama yang terguris 
di hati. Wajah Bapa, gasang menerpa serentak hentaman 
peristiwa silam yang meragut suara Adik daripada hidup 
Saya di dunia kecil dan jasad Adik di dunia luas ini. 

Benar, terajang Bapa meragut Adik. Bapa tidak 
menyedari kerana emosi Bapa memuncak panas. Ibu tidak 
merasai kehilangan Adik kerana Saya masih 
bergerak-gerak dalam dunia sempit itu. 

Setelah puas memukul Ibu, Bapa pun keluar dari rumah. 

Ibu berteriak, "Pergilah ke rumah betina itu! Berambus 
dari kehidupan aku!" 

Sungguh, itulah kali pertama Saya mendengar suara Ibu 
segasang itu. Ibu tidak pernah menaikkan suara, 
biarpun Bapa menaikkan tangan. Ibu tidak pernah 
sekasar itu, biarpun Bapa menggasang jasad Ibu. 

Setelah Bapa hilang dari pandangan, Ibu menyendiri di 
kamar. Abang dan kakak yang terkejut dengan 
pertengkaran seawal pagi itu berpelukan sesama sendiri 
di tepi buaian Saya. Saya menangisi pemergian Adik dan 
bingung dengan perubahan Ibu. Rumah Kami jauh dari 
jiran untuk mereka merasai bahang pada pagi itu. 

Suasana sepi sekian lama. Matahari semakin memanjat 
langit. Saya hampir terlelap dalam kelaparan dan 
kebasahan. Sejak pagi, belum ada sesuatu pun masuk ke 
dalam perut Saya. Ibu terlalu sibuk dengan 
kesendiriannya dalam kamar. Abang dan kakak masih 
kebingungan di tepi buaian Saya. Seperti yang saya 
katakan, cuaca hari ini panas metah. 

Hanya kemudian, Kami dikejutkan suara Ibu 
menjerit-jerit dalam kamar. Bunyi halai-balai dari 
kamar Ibu. Abang dan kakak terkejut. Saya juga 
tergegau metah. Ibu keluar dari kamar dan terus ke
dapur dalam pakaian tidak terurus. 

Abang dan kakak ketakutan berlari ke luar. Saya? 
Tentulah dalam keadaan merangkak hanya berondok dalam 
buaian. Malah, andai Saya boleh berlari sekali pun, 
Saya tidak akan berlari kerana bukankah Kami berkongsi 
rasa? 

Ibu muncul di depan Saya dengan pisau di tangan. Ibu 
mengenjut buaian perlahan. Ibu menyanyi. Nyanyian Ibu 
perlahan tetapi menggetis hati. Lagu Ibu duka, 
tersirat dendam yang terkumpul. Saya tidak mengerti 
apa yang berlaku pada Ibu. 

Ibu seperti bukan Ibu lagi. Ibu seperti manusia asing
yang jauh dari Saya. Ibu bukan seperti yang Saya 
kenali atau seperti yang Adik angan-angankan dalam 
dunia sempit dulu. 

Ibu berwajah aneh. Tangan Ibu menggeletar dan pisau 
mengigil. Ibu melutut, menyorot wajah Saya. Aduh, 
sinar mata Ibu seperti matahari di luar, tajam 
menggigit pandangan. 

Panas semakin berkuam dalam rumah. Saya mencari-cari 
hati Ibu. Barangkali hati Ibu wajib diendus sayang 
Saya. Cuma, Saya tidak menemui letak hati Ibu 
sekarang. Benarlah, Ibu bukan seperti Ibu lagi. 

"Bapamu yang memisahkan adikmu. Maafkan Ibu kerana 
tidak menyedari kehilangan kembarmu melainkan setelah 
diberitahu doktor. Bidan yang menyambut kelahiranmu 
terpaksa merujuk Ibu ke hospital. Mereka membedah Ibu 
dan mengeluarkan adikmu. Tuhan, bapamu pembunuh anak 
sendiri." 

Hati Saya sayu. Adik diam bukan kerana kehilangan 
suara. Adik membisu kerana Adik sudah tiada 
bersama-sama Saya. Sekian lama Saya memujuk jasad 
tanpa ruh. Saya kehilangan Adik lebih awal daripada
Saya menyedari kehilangannya. 

Ibu kembali menyanyi. Pedih sekali lagu Ibu. Luka di
hati semakin terkuak. 

"Marilah sayang. Marilah kita bertemu adikmu. Biar 
kita bertiga sama-sama menyanyi di dunia lain. Kita 
bertiga di dunia sempit tetapi selesa berbanding dunia 
sekarang yang luas tapi penuh derita. Mahu sayang?" 

Saya pun menangis. Saya tidak tahu musababnya. 
Barangkali ingatan terhadap Adik. Barangkali juga 
melihat Ibu tidak seperti Ibu lagi. Tidak mustahil 
kerana dendam Ibu dan Saya. Semuanya berkumpul, 
seperti Saya, Adik dan Ibu bersatu. 

"Biarlah kita bertiga, Hana, Hani dan Ibu...." 

Ketika itu, Saya berasa pedih di leher. Dendamkah itu 
yang mengguris Saya? Dunia luas itu semakin kelam dan 
sempit. Hitam. Gelita. 

Balam-balam, Saya melihat Adik. Adik tersenyum. Adik 
sudah sebesar Saya. Adik peluk Saya. Di hati, Adik 
berbisik, 'Baliklah Kakak. Lain kali kita jumpa lagi. 
Adik sayang kakak. Adik sayang Ibu." 

Adik pun hilang. Saya buka mata. Dunia terang kembali. 
Putih. Cerah. 

Bapa ada di sisi. Bapa menangis. Kakak dan abang juga. 
Tetapi Ibu tiada. Ke mana Ibu? 

Kata orang, Ibu gila meroyan. Saya tidak tahu apa itu 
meroyan. Suatu hari nanti mungkin Saya akan tahu.

Orang kata lagi, Ibu sudah ada tanda-tanda itu selepas 
melahirkan Saya dan kembar Saya meninggal dalam 
kandungan. Ibu tidak dapat menerima takdir kehilangan 
Adik. 

Ibu pendam perasaan. Bapa tidak menyedari emosi Ibu 
terluka, malah tindakan Bapa menambah-parah luka Ibu. 
Sehinggalah suatu hari, luka itu menguak dan darah
menyerbu keluar. Ibu mengamuk! 

Jiran yang jauh bersyukur kerana abang dan kakak 
menangis meluru ke rumah mereka. Mereka bergegas ke 
rumah dan mendapati Ibu cuba mengelar leher Saya. 
Mereka dapat selamatkan Saya daripada menjadi mangsa 
amuk Ibu. 

Orang bercakap-cakap. Mereka tidak sedar Saya 
memahaminya. Mereka musykil mengapa Ibu yang penyayang 
bertindak sebegitu. Hanya Saya yang berkongsi rasa, 
mengetahui kisah sebenar ini. 

Kini, Ibu tidak seperti Ibu lagi. Dan Bapa, tidak 
seperti Bapa dulu lagi. Bapa sudah insaf. Setiap 
malam, sewaktu menguliti Saya, Bapa meluahkan 
kesalnya. 

"Hana, ibumu tidak bersalah. Bapa yang bersalah. 
Jangan berdendam kepada ibumu, ya sayang! Moga-moga 
ibumu di hospital akan pulih suatu hari nanti." 

Saya tidak pernah berdendam dengan Saya. Saya juga 
belajar memaafkan Bapa yang mahu menjadi Bapa yang 
baik. 

Saya tidak salahkan Ibu. Saya sayang Ibu, meskipun Ibu 
sudah jauh dan tidak mengenali anak-anaknya lagi. 
Sayang Saya kepada Ibu seperti kepada Adik. Meskipun, 
Adik sudah jauh dan Ibu dikurung di hospital, Saya, 
Adik dan Ibu seperti satu. 

Benarlah, Kami berkongsi perasaan. Hanya Kami 
mengetahuinya. 

Allah itu Maha Agung,Maha Besar,Maha Pencipta...

______________________________________

BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
LIKE SinarMawaddah  


ISLAM ITU INDAH


No comments:

Post a Comment