subscribe

Followers

Nuffnang

page seindah cinta islam

Please like this page

Thursday, 21 March 2013

:::... BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH ...:::

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِارَّحْمَنِ ارَّحِيم

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera buat para pembaca yang saya hormati sekalian.

Segala puji bagi Allah s.w.t atas segala-galanya yang telah diberikan kepada kita terutama nikmat iman dan nikmat Islam. 
Mohonlah kepada Allah s.w.t tanpa jemu agar kita dihidupkan dengan iman, dimatikan dalam iman dan dimasukkan ke dalam syurgaNya dengan iman.

Iman, iaitu kepercayaan dan keyakinan yang dilafazkan dengan lisan, dibuktikan dengan amalan zahir dan membenarkan dengan hati. 
Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi kita, Nabi Muhammad s.a.w....


:::... BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH ...:::

Di syurga, manusia tidak lagi terbeban dengan ibadah seperti solat, puasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan bersedekah. Apa yang tinggal hanyalah bersilaturrahim iaitu berkasih sayang. Demikian itu, silaturrahim adalah amalan ibadah di dunia yang berlanjutan ke akhirat iaitu ke SYURGA.

Imam Ghazali, dalam bukunya Ringkasan Ihya' Ulumuddin (1995) mengingatkan kepentingan saling berkasih sayang kerana Allah dan menjalinkan persaudaraan dalam agama kerana ia adalah ibadah yang utama. Tercapainya jalinan kasih sayang kerana Allah, tidak lain adalah akhlak yang baik seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad.

Allah berkata dalam surah al-Qalam, ayat 4, "Muhammad mempunyai akhlak yang mulia."

Imam Ghazali menjelaskan, berkasih sayang kerana Allah dan menjalin persaudaraan dalam agama Allah adalah nikmat yang luar biasa. Nabi menjelaskan, apabila Allah menghendaki kebaikan bagi kita, Allah akan mengurniakan seorang teman yang soleh. Apabila kita lupa, teman itulah yang mengingatinya dan apabila dia mengalami kesusahan, teman itu yang membantunya. Begitulah kehidupan orang mukmin yang saling berkasih sayang dan membantu. Apabila kita tidak memiliki rasa kasih dan sayang kepada orang lain, tentu kita juga tidak dikasihi orang.

Sayangnya dalam kehidupan moden kini, sukar bagi kita menemui teman yang soleh. Orang pada hari ini cenderung mencari teman bagi tujuan memperoleh keuntungan peribadi. Ramai pula yang suka menyalahkan teman tetapi enggan memberikan nasihat yang bijaksana sehingga susah bagi kita hendak mengetahui siapa kawan dan siapa lawan. Perkara sedemikian timbul kerana manusia meninggalkan teladan Nabi Muhammad. Orang mulai lupa bersilaturrahim itu penting sehingga ia menjadi amalan di akhirat.

Nabi Muhammad pernah berkata,

"Siapa bersaudara dengan orang lain semata-mata kerana Allah, Allah mengangkatnya satu darjat di syurga yang tidak diperolehnya melalui amalan lain."

Abu Hurairah melaporkan, Nabi Muhammad berkata,

"Pada hari kiamat kelak, Allah bertanya, 'Di manakah orang-orang yang berkasih sayang kerana Aku? Demi kekuatanKu dan ketinggianKu, Aku memberikan kepada mereka awan sebagai tempat berteduh pada waktu yang tidak ada lagi tempat berteduh kecuali memperolehnya daripadaKu.'"

Betapa mulianya orang-orang yang berkasih sayang semata-mata kerana Allah. Mereka tidak mencari keuntungan dalam berteman tetapi berteman dengan jujur dan sanggup membantu teman yang berada dalam kesusahan tanpa mengharapkan balasan.

Usman al-Khaibawi dalam kitabnya, Durratun Nasihin, mengisahkan perihal seorang lelaki pada hari akhirat. Selepas Allah menimbang semua amal perbuatannya, ternyata perbuatan jahatnya lebih berat daripada amal baiknya. Jadi,beliau diperintahkan masuk ke neraka. Lelaki itu berasa takut dan cemas. Beliau memohon izin daripada Allah mahu bertemu ibunya. Tujuannya adalah mahu meminta kebaikan daripada ibunya. Allah mengizinkannya dan beliau segera mencari ibunya. Selepas bertemu dengan ibunya, beliau berkata, "Wahai ibu, engkau membesarkan dan mendidik diriku sejak kecil sehingga dewasa. Berikanlah kebaikan mu daripada amal perbuatanmu itu kepadaku supaya aku selamat daripada neraka."

Sayangnya si ibu tidak dapat memberikan kebaikannya kerana amalnya sendiri sedikit. Ibunya berkata, "Wahai anakku, keadaanku sekarang ini lemah dan aku juga kebingungan dalam urusanku. Bagaimana aku dapat menyelamatkanmu?" Nampaknya, ibu yang diharapkan dapat memberikan kebaikan kepadanya tidak dapat membantunya namun beliau tidak putus asa. Lelaki itu berusaha mencari kaum kerabatnya dan memohon mereka memberikan kebaikan kepadanya.Ternyata, tidak ada seorang pun yang mampu membantunya kerana masing-masing sibuk dengan urusan perkiraan amalan mereka sendiri.

Akhirnya, Allah memerintahkan malaikat supaya memasukkan lelaki tadi ke neraka. Sewaktu beliau sedang diseret ke neraka, tiba-tiba seorang sahabat lamanya di dunia mendekatinya dan berseru, "Aku berikan kepadamu semua kebaikanku supaya salah seorang daripada kita terselamat daripada api neraka. Siapa yang lebih ringan timbangan amal kebaikannya selepas ittu, dialah yang dimasukkan ke dalam neraka."

Apabila sahabatnya itu memberikan kebaikannya kepadanya, beerti si sahabat merelakan dirinya sendiri dimasukkan ke dalam neraka. Baginya, itu lebih baik daripada kedua -dua mereka masuk neraka. Begitu sifat sahabat sejati. Melalui bantuan sahabatnya itu, lelaki itu tidak jadi dimasukkan ke neraka, sebaliknya dia dipersilakan masuk ke dalam syurga tanpa mengendahkan nasib sahabatnya yang membantunya tadi.

Selepas beliau berada di dalam syurga, beliau mendengar seruan, "Tidakkah engkau mahu mengucapkan terima kasih kepada sahabatmu yang membantumu dengan rasa kasih sayang? Engkau malah meninggalkan sahabatmu di neraka, sedangkan engkau sendiri masuk ke dalam syurga!"

Mendengarkan seruan itu, barulah lelaki itu tersedar. Dia terus tersungkur dan sujud memohon supaya Allah memberikan pertolongan ataupun syafaat kepada sahabatnya yang berada di neraka itu. Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang segera memerintahkan sahabatnya itu masuk ke dalam syurga yang penuh kenikmatan. Dengan demikian, kedua-dua mereka terselamat daripada siksaan api neraka.

Kisah di atas menunjukkan pentingnya persahabatan hanya kerana Allah.

Anas bin Malik melaporkan, Nabi Muhammad berkata,

"Allah itu mempunyai para hamba yang pada hari kiamat kelak, duduk di atas mimbar-mimbar. Pakaian dan wajah mereka bercahaya namun mereka bukanlah para nabi mahupun para syuhada, malah para nabi dan para syuhada berasa iri hati kepada mereka."

Para sahabat lantas bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah merekan itu?"

Nabi menjawab, "Mereka adalah orang-orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang-orang yang saling kunjung-mengunjungi kerana Allah dan orang-orang bergaul dengan baik kerana Allah."

Begitulah teladan yang baik dalam berkasih sayang kerana Allah. Marialh kita mengikut teladan itu, jangan sampai kita menjadi seperti kebanyakan orang sekarang yang lebih suka berkasih sayang kerana tiga 'ta' iaitu harta, takhta dan wanita!

KREDIT: Buku Andai syurga dan neraka tidak ada
(Muhammad Hassan Basri) m/s 15-19

______________________________________

BERKASIH SAYANG KERANA ALLAH
LIKE SinarMawaddah  


ISLAM ITU INDAH

No comments:

Post a Comment